Duit Tabung Nak Pergi Holiday Kat Bandung

Rabu, Mac 03, 2010

Mengikat Kasih Sayang

Ok. Aku bukanlah pakar dalam bidang rumahtangga ni. Kahwin pun barulah nak masuk tahun ke-5 tapi Alhamdulillah, rumahtangga aku sangat harmoni. Bohong lah kan kalau aku kata, aku dengan Encik Rizal tak pernah bergaduh atau berselisih faham, tapi biasanya rajuk di hati tu tak lama. Kadang-kadang rasa bersalah dan berdosa pulak kalau tak bertegur sapa dengan Encik Rizal lama-lama. Lebih-lebih lagi kalau dia tak henti-henti memujuk dan buat lawak poyo. Cair hati I tau !! Aku sebenarnya nak kongsi sikit la tips bagaimana untuk mengeratkan lagi kasih sayang antara suami dan isteri. Sebelum tu, no offense ok ... ini cara aku, mungkin berbeza dengan cara kamu. Kalau kamu-kamu ada cara tersendiri, jom kita kongsi !!




1) Cuba kawal emosi jika bertengkar atau berselisih faham

Kalau sedang bertengkar atau berselisih faham, cuba kawal emosi. Jangan bercakap ikut perasaan. Kalau pasangan anda yang sedang naik marah, anda cuba jangan terlalu melawan. Cuba dengar penjelasan dia terlebih dahulu. Kalau dua-dua hangin, nanti susah sebab dua-dua mesti taknak mengalah. Bila pasangan dah cool, barulah anda kemukakan ketidakpuasan hati atau pendapat anda tapi biarlah dengan nada yang lembut. Jangan tinggikan suara.



2) Masakkan makanan kegemaran untuk pasangan

Rasanya tak salahkan kalau sekali-sekala, anda masak hidangan yang istimewa untuk menjamu perut pasangan anda. Suami pun kenalah alert sikit tentang makanan kegemaran isteri dan cuba masakkan untuk isteri. Takkanlah isteri jek yang nak kena masak untuk suami. Kan best kalau tetiba, isteri yang dah penat-penat balik kerja, tau-tau makanan kegemaran dia dah terhidang. Mesti isteri anda makin bertambah sayang. Yang isteri pulak, janganlah demand lebih-lebih. Mentang-mentang suami dah masakkan, mintak lagi dan lagi dan lagi. Bosan la suami nanti.



3) Pohon dan berikan kemaafan setulusnya

Bila dah berselisih faham tu, memang diakui mesti nak menang. Sama macam aku. Tapi, kekadang bila marah dah redha, rasa bersalah mesti bersarang dalam hati. Oleh itu, pohon dan berilah kemaafan kepada pasangan anda setulusnya. Kalau boleh jangan diulang tapi dah namanya manusia, selalu buat silap. Ikhlaskan hati setiap kali anda memohon atau memaafkan pasangan. Jangan simpan dendam. Jangan mulut saja cakap maaf tapi hati tak ikhlas. Tak baik tau.



4) Libatkan diri dalam aktiviti masing-masing

Yang ini aku paling suka. Kalau nak diikutkan aku yang paling banyak aktiviti berbanding Encik Rizal. Aku suka lepak dengan kawan-kawan aku. Aku suka tengok wayang. Aku suka karaoke. Aku shopping. Setiap kali kamu-kamu buat aktiviti yang kamu gemar, libatkan sekali pasangan anda. Janganlah pulak kau sedap-sedap 'mengeteh' dengan kawan-kawan, kau biarkan pasangan kau makan sorang-sorang kat rumah. Sekali-sekala keluar tanpa pasangan mungkin tak apa, tapi kalau setiap kali kau pergi bersuka-ria, pasangan ditinggalkan, memang cari nahas. Kenalah heret sekali pasangan kau itu walaupun dia akan buat muncung panjang sedepa. Begitu juga sebaliknya. Kalau pasangan anda berminat akan sesuatu, cuba pupuk minat yang sama. Janganlah asyik nak ikut selera anda jek. Kalau pasangan anda jenis suka duduk rumah (macam Encik Rizal), apa salahnya korbankan hari minggu bersantai kat rumah jek. Seronok tau !!



5) Bantu satu sama lain dalam kerja rumah

Ini memang menjadi amalan aku. Kalau kami decide nak duduk rumah weekend, selalunya aktiviti kami adalah mengemas rumah. Jadi, bahagikanlah tugas bersama pasangan. Kalau isteri membasuh, suami tolong la sidai. Kalau isteri memasak, suami tolong la basuh pinggan. Kalau isteri menyapu, suami tolong la mengemop. Janganlah isteri atau suami kau tertonggeng-tonggeng buat kerja, kau sedap-sedap tengok Melodi sambil makan kerepek pisang. Ishh tak baik tak baik.



6) Ucapkan sayang sekerap yang boleh

Ucapkan 'I Love U' selalu. Tak kiralah melalui SMS, email atau panggilan telefon atau pun secara langsung. Kadang-kadang ucapan itu menunjukkan tanda terima kasih pada pasangan. Contohnya kalau pasangan anda tolong kemas rumah atau memasak, ucaplah ayat keramat itu sebagai tanda penghargaan.



7) Sekali-sekala buat suprise untuk pasangan

Siapa yang tak suka kalau tetiba dapat kad ucapan terima kasih beserta coklat dan bunga. Tak perlu hadiah yang mahal. Cukup sekadar kad ucapan tanda ingatan. Mesti pasangan rasa seronok dan bertambah sayang sekiranya tetiba ada bunga, coklat dan kad ucapan sampai di atas mejanya. Tak perlu tunggu tarikh yang istimewa macam harijadi atau ulangtahun perkahwinan. Bila-bila berkesempatan buatlah suprise untuk pasangan.



8) Jadilah pendengar yang setia

Kalau pasangan anda ada masalah, jangan dibiarkan dia melalui dan selesaikan masalah itu seorang diri. Perkahwinan itu satu perkongsian, jadi anda perlu kongsi segala-galanya termasuk yang manis, pahit, masam dan kelat. Jika anda tak mampu membantu menyelesaikan masalah, kadang-kala menjadi pendengar yang setia sudah cukup untuk membantu. Tenangkan hati pasangan anda. Berikan dia semangat. Yakinkan dia bahawa anda selalu ada di sisinya di saat susah dan senang.




p/s : sebenarnya, mungkin banyak lagi cara untuk mengeratkan kasih sayang. tapi ini cara aku. kalau kamu-kamu ada cara yang lebih berkesan, teruskan dan jangan lupa berkongsi ... Sharing Is Caring !!

Tiada ulasan:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin